Sejarah UPMKB

Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) ini bukanlah suatu nama baru sebagai  destinasi pendidikan tinggi di negara ini kerana ia merupakan kampus tertua di Negeri Sarawak. Sejarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak bermula di kampus sementaranya di Natural Resources Training Centre, Semenggok, Kuching pada 10 Ogos 1974. Kampus ini telah berpindah ke kampus tetapnya di Bintulu, Sarawak pada bulan Jun 1987.

Pada 27 Ogos 1987, Universiti Pertanian Malaysia Sarawak telah ditubuhkan secara rasmi sebagai kampus cawangan melalui Perintah Universiti Pertanian Malaysia (No.2) 1987 di bawah tiga Pusat Pengajian – Pusat Pengajian Sains Gunaan, Pusat Sains Asasi dan Pusat Pengajian Sains Sosial dan Pengurusan. Pusat tersebut menawarkan tiga program di peringkat Diploma iaitu Diploma Pertanian, Diploma Perhutanan dan Diploma Perniagaantani di samping satu program pendahuluan. 

UPMKB terletak 13 km dari Bandar Bintulu, dikelilingi dengan rimbunan kehijauan yang kaya dengan flora dan fauna. Kampus ini mempunyai keluasan 714.178 hektar dan boleh menampung sehingga 2800 orang pelajar. 

UPMKB adalah kampus cawangan UPM dan sekarang ini mempunyai sebuah fakulti yang dinamakan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan (FSPM). Fakulti ini terdiri daripada lima buah jabatan akademik iaitu Jabatan Sains Tanaman, Jabatan Sains Perhutanan, Jabatan Sains Sosial, Jabatan Sains Asasi dan Kejuruteraan dan, Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan. Fakulti ini menawarkan program PhD, Master, Bacelor dan Diploma.