Latar Belakang FTB2018

Tarian merupakan satu seni budaya yang telah berkembang dalam kalangan masyarakat sebagai satu seni persembahan. Perkembangan ilmu dan teknologi turut mewarnai perkembangan seni tari dengan wujudnya tarian moden yang berasaskan gerak tari tarian tradisional. Kepulauan Borneo sendiri mempunyai kepelbagaian budaya dan pola tarinya tersendiri. Justeru, bagi memastikan seni budaya tarian ini tidak terus hilang ditelan zaman, Institusi Pengajian Tinggi di Kepulauan Borneo yang merangkumi Malaysia, Brunei dan Indonesia telah mewujudkan Festival Tarian Borneo.

Festival Tari Borneo ini pernah dianjurkan oleh beberapa Institusi Pengajian Tinggi di sekitar Borneo dan yang terkini pada dua tahun lepas, Universitas Mulawarman, Samarinda, Kalimantan Timur Indonesia telah menjadi tuan rumah Festival Tari Borneo 2016.

Festival Tari Borneo adalah merupakan pertandingan tarian etnik kepulauan Borneo yang penyertaannya terbuka kepada Institusi Pengajian Tinggi yang ada di Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia. Program yang telah pun dianjurkan bermula pada tahun 2006 ini secara amnya dilaksanakan setiap 2 tahun sekali secara bergilir-gilir antara semua Institusi Pengajian Tinggi yang ada di kepulauan Borneo. Untuk penganjuran pada kali ini, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah diberi mandat untuk menjadi penganjur dan tuan rumah bagi Festival Tari Borneo 2018 (Edisi Ke-VII).

Selain itu, UPMKB juga akan menganjurkan satu lagi program yang dikenali sebagai International Summer School: “Diversity In Academia, Culture & Agriculture”. Penyertaan program ini adalah terbuka kepada mana-mana penuntut yang menuntut di institusi pengajian tinggi di dalam atau luar negara. Melalui program ini, peserta akan didedahkan kepada ilmu pengetahuan yang berkisar tentang akademik, budaya dan pertanian. Kesemua elemen ini akan disampaikan secara langsung melalui beberapa medium seperti forum, latihan dalam kumpulan (LDK), bengkel dan lawatan.