Bahagian Hal Ehwal Pelajar

PENGENALAN

Bahagian Hal Ehwal Pelajar merupakan satu komponen yang terpenting dalam pentadbiran Hal Ehwal Pelajar. Bahagian ini diketuai oleh seorang Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) yang bertanggungjawab menguruskan segala hal ehwal pelajar yang berkaitan pelaksanaan aktiviti kokurikulum, tatatertib, kaunseling, kesukanan, kebudayaan, penempatan, bantuan kewangan, kemajuan akademik, kebajikan pelajar dan pelajar luar kampus. Misi bahagian ini adalah untuk menjadi pemangkin ke arah pembentukan kecemerlangan, kewibawaan dan ketrampilan pelajar melalui pelaksanaan program pembangunan sahsiah. Kecemerlangan haruslah diimbangi di antara kedua-dua bidang iaitu akademik dan kokurikulum. Kedua-dua aspek ini akan saling melengkapi antara satu sama lain dalam proses kemajuan diri pelajar dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti, seimbang dan berupaya untuk terus maju melalui pembelajaran yang berterusan.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar kini terbahagi kepada dua seksyen iaitu Seksyen Pentadbiran (Terletak di Tingkat 1, Bangunan Pusat Pelajar) dan Seksyen Kaunseling, Kebajikan dan Pembangunan Pelajar (Terletak di Tingkat 1, Bangunan Pentadbiran).

Dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab ini, Pejabat Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar berperanan membantu pihak Universiti mencapai matlamat utamanya melalui:

  1. Perancangan pembangunan fizikal untuk keperluan pelajar dalam aspek-aspek kokurikulum, penginapan, sukan, kebudayaan dan juga perkhidmatan pentadbiran kepada pelajar.
  2. Pengawalan disiplin dan perilaku pelajar berpandukan akta dan peraturan yang diluluskan oleh kerajaan dan pihak berkuasa Universiti.
  3. Peningkatan kualiti perkhidmatan iaitu usaha berterusan dijalankan bagi memenuhi kehendak pelanggan iaitu pelajar.
  4. Konsep perkhidmatan mesra pelanggan iaitu bahagian ini sentiasa menggalakkan hubungan yang rapat dan terbuka dengan kepimpinan pelajar.
  5. Penganjuran sesi percambahan dan penyatuan fikiran melalui bengkel dan penyelidikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Pertanyaan Selanjutnya: TD (HEP)

 

SEKSYEN PENTADBIRAN DAN KOKURIKULUM PELAJAR

Seksyen Pentadbiran kini diketuai oleh seorang Penolong Pendaftar. Seksyen ini memfokuskan kepada pentadbiran, kewangan dan aktiviti-aktiviti pelajar termasuklah kokurikulum berkredit dan sukan pelajar.

FUNGSI

  1. Merancang, menyelia dan melaksanakan pengurusan hal ehwal pentadbiran, kewangan dan pembangunan sumber manusia Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
  2. Merancang dan memantau aktiviti kepimpinan, senikebudayaan, dan kerjaya serta kerohanian mahasiswa.
  3. Memantau dan menyelaras perkhidmatan makanan mahasiswa.
  4. Merancang dan memantau aktiviti sukan pelajar.
  5. Memantau dan menyelaras jaringan luar pelajar.

Pertanyaan selanjutnya: En. Noor Hakim bin Ahmad


SEKSYEN KAUNSELING, KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNAN PELAJAR

Seksyen ini diketuai oleh Pegawai Psikologi yang terdiri daripada kaunselor terlatih. Seksyen ini memfokuskan kepada perkhidmatan kaunseling, urusan kebajikan pelajar serta sahsiah dan pembangunan pelajar.

FUNGSI

  1. Menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada pelajar dan staf UPM Kampus Bintulu.
  2. Menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar seperti Guarantee Letter pelajar yang sakit serta urusan Pas Pelajar.
  3. Menguruskan hal ehwal tajaan pelajar seperti biasiswa, pinjaman dan bantuan zakat.
  4. Menyelaras dan memantau aktiviti Putra Bakti@Freeshop UPMKB.
  5. Menguruskan hal ehwal disiplin dan sahsiah pelajar serta menganjurkan program-program pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Pertanyaan selanjutnya: En. Muhd Abdul Rahim bin Habib

                                     Pn. Hairunisah binti Abdul Rahman