Kata Aluan Pengarah



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum W.B.T. dan selamat datang ke laman web rasmi Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak.

Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) merupakan universiti tertua di Malaysia Timur, ditubuhkan sejak tahun 1974 mulanya sebagai Institut Pertanian Semenggok, Kuching. Pada tahun 1987, UPMKB secara rasminya telah berpindah ke Bintulu, Sarawak sehingga kini. UPMKB telah mengalami pelbagai transformasi, sejajar dengan keperluan pendidikan negara, negeri Sarawak dan rantau Borneo. Bermula dengan hanya menawarkan 2 program Diploma, UPMKB kini berkembang dengan menawarkan 9 program Diploma, 5 program Bacelor, dan 51 bidang kepakaran bagi program Master dan PhD. secara penyelidikan. Selain itu, UPMKB juga turut menawarkan program Persediaan Diploma bagi pelajar yang tercicir dari sistem arus perdana pengajian tinggi.

UPMKB merupakan satu-satunya Universiti Penyelidikan di Malaysia Timur seiring dengan kampus induk di Serdang. Pelbagai usaha telah dan sedang digembleng untuk menjadikan UPMKB sebagai kampus bertaraf antarabangsa. Bagi memperkukuhkan peranan UPMKB sebagai hub penyelidikan dan pendidikan, 3 buah entiti baharu telah ditubuhkan pada tahun 2020. Institut Ekosistem Borneo Sains (IEB) telah ditubuhkan untuk menerokai penyelidikan bermanfaat terutamanya dalam bidang pertanian dan perhutanan. Disamping 2 buah fakulti baharu iaitu Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) dan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) telah ditubuhkan pada tahun ini bagi menyokong usaha perekayasaan UPMKB.

Bagi memantapkan pembangunan dan pentadbiran yang cemerlang, pelan strategi UPMKB 2019 – 2023 telah dibangunkan mensasarkan kepada 5 tujahan utama UPMKB iaitu, Pertanian; Perhutanan; Tenaga Diperbaharui; Kimia Industri dan; Ekonomi Sosial. Bidang tujahan ini adalah sejajar dengan permintaan dan jangkaan industri dalam mendapatkan tenaga kerja yang berkualiti, dimana UPMKB mampu melahirkan graduan yang mempunyai kualiti dan kebolehpasaran yang tinggi.

Seiring dengan motto UPMKB, "Berilmu Berbakti" kami amat teruja untuk menyumbang kepakaran yang ada melalui jaringan industri dan masyarakat. Seluruh warga UPMKB bergiat aktif dalam program berimpak tinggi, pembangunan komuniti dan pemindahan teknologi serta aktiviti khidmat masyarakat. Hal ini kerana, kami percaya penerapan ilmu yang seimbang akan menghasilkan kemajuan yang signifikan, baik untuk UPMKB dan masyarakat sekitarnya.

Keindahan kampus yang menghijau dan tenang adalah salah satu daya penarik untuk persekitaraan pengajaran dan pembelajaran kondusif, yang ada UPMKB. Melalui keseimbangan akademik dan aktiviti kokurikulum yang ditawarkan dalam suasana pembelajaran yang tenang, kami percaya mahasiswa dan graduan UPMKB mampu menjadi insan yang bersedia dalam menghadapi cabaran masa depan.

Akhir kata, kami di UPMKB amat mengalu-alukan kedatangan anda; para pelajar, pensyarah, penyelidik, mahupun pihak yang ingin menjadi rakan strategik UPMKB yang berkongsi nilai yang sama demi menghasilkan output yang berkualiti sekaligus berbakti kepada masyakarat sejagat.

 

Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini
Pengarah Kampus
Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak
97008 Bintulu Sarawak
Tel: +6086855201
Faks: +6086855888
Emel: campusdirector.btu@upm.edu.my