Jawapan 1 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» Jawapan 1

Jawapan 1

Seseorang yang hendak berhenti merokok akan melalui 4 fasa dan perlu melakukan beberapa tindakan seperti berikut:

Fasa 1: Berfikir untuk berhenti merokok

Buat keputusan tegas bahawa anda benar-benar hendak meninggalkan tabiat merokok. Kuatkan tekad dan berjanjilah kepada diri sendiri yang anda bersungguh-sungguh akan berhenti merokok. Kenalpasti sebab-sebab utama anda hendak berhenti merokok. Tuliskan senarai sebab-sebab ini dan letakkan senarai tersebut di tempat yang mudah anda semak setiap kali anda merasa ingin merokok.

Fasa 2: Persediaan untuk berhenti merokok

Setelah memutuskan untuk berhenti, anda perlu membuat beberapa persediaan bagi memudahkan anda melaksanakan usaha dengan jayanya. Guna pendekatan CUKUP

C – Cari tarikh sesuai untuk berhenti merokok. Tarikh dan masa yang dipilih hendaklah dalam tempoh 2 minggu dari masa anda mula meletakkan hasrat untuk berhenti. Jangan ambil masa terlalu lama kerana dibimbangi motivasi anda akan kian luntur.

U – Umumkan kepada anggota keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja anda tentang hasrat anda untuk berhenti merokok. Dapatkan sokongan dan bantuan mereka. Dengan ini, usaha anda menempuh proses berhenti merokok akan turut dikongsi oleh orang yang hampir dengan anda.

K – Kenalpasti cabaran-cabaran yang bakal anda hadapi dan buat perancangan untuk mengatasi setiap cabaran itu. Ketahuilah bahawa bulan pertama adalah tempoh yang paling mencabar. Ramai perokok yang cuba berhenti kembali merokok semula dalam tempoh 3 bulan kerana gagal mengatasi tekanan dan rasa gian. Rangkakan kaedah tentang bagaimana anda patut menentang keinginan untuk merokok.

U – Urus dan bersihkan persekitaran anda (di rumah, kereta dan tempat kerja) dari semua bahan dan peralatan yang ada hubungkait dengan tabiat merokok seperti rokok, pemetik api, bekas habuk rokok. Perkara-perkara ini boleh mengingat dan mendorang anda untuk merokok.

P – Perbincangkan tentang kaedah terbaik untuk berhenti merokok dengan doktor atau anggota kesihatan. Walaupun ramai bekas perokok telah berhenti tanpa menggunakan rawatan ubat, namun ia tetap merupakan satu pilihan yang boleh membantu anda. Anda juga boleh hubungi talian berhenti merokok Kementerian Kesihatan (03-88834400) untuk mendapatkan maklumat berhenti merokok.

Fasa 3: Berhenti merokok

Apabila tiba hari yang ditetapkan untuk anda berhenti merokok, sekali lagi ingatkan keluarga dan rakan-rakan anda bahawa anda mula berhenti merokok pada hari ini. Jangan malu untuk minta sokongan dan bantuan mereka agar anda berjaya berhenti merokok.

Jika anda menggunakan ubat, teruskan rawatan menurut cara pengambilan yang telah ditetapkan. Ikut nasihat doktor atau anggota kesihatan yang memberi rawatan itu kepada anda. Sibukkan diri dengan melakukan hal-hal berfaedah. Penuhi masa terluang anda di tempat-tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Sekiranya anda inginkan sesuatu dicelah jari atau bibir anda, gantikannya dengan memegang benda selain rokok, seperti pensel atau lobak merah (carrot stick).

Anda dicadangkan mengamal kaedah 12 ‘M’ untuk mengatasi rasa gian.

      • Melengah-legahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambatkan masa mencari rokok atau menyalakan rokok
      • Menarik nafas panjang – tiga kali secara perlahan-lahan sekiranya datang keinginan untuk merokok
      • Minum air kosong dengan banyak dan jangan sekali-kali minum air berkafein seperti kopi atau teh kerana ia akan meningkatkan keinginan untuk merokok
      • Membuat sesuatu – seperti aktiviti lain yang boleh mengalih perhatian anda daripada berfikir hendak merokok
      • Mengunyah sesuatu – seperti gum, lobak merah, buah-buahan dsb. Elakkan benda manis seperti gula-gula
      • Mandi – seberapa kerap apabila didatangi keinginan merokok
      • Membasuh tangan – seberapa kerap apabila didatangi keinginan merokok
      • Melakukan senaman regangan – sekiranya anda mengantuk kerana tidak merokok
      • Memohon doa/ Meditasi – untuk kuatkan azam dan usaha agar berjaya berhenti merokok
      • Menjauhkan diri daripada perokok atau kawan-kawan yang kerap merokok
      • Mengelakkan diri daripada rasa bosan atau situasi yang mendorong kepada merokok
      • Menginsafi dan merujuk kembali sebab anda hendak berhenti merokok
      • Ketahui tentang kebaikkan berhenti merokok. Proses pemulihan tubuh bermula dalam tempoh 20 minit selepas anda menghisap rokok anda yang terakhir.

Fasa 4: Kekal tidak merokok

Letakkan sepenuh tekad dan keyakinan anda untuk kekalkan sebagai bekas perokok. Anda seharusnya merasa hebat dan bangga kerana telah berjaya sampai di peringkat ini. Jadi, mengapa tidak teruskan sahaja.

Sentiasalah beringat dan berhati-hati kerana ancaman untuk kembali merokok selalu ada. Kehadiran anda bersama orang-orang di tempat-tempat dan acara-acara tertentu boleh merangsang keinginan anda untuk merokok semula, walaupun selepas beberapa tahun. Sebab itu, janganlah sama sekali dihisap rokok itu tanpa mengira seberapa lama anda telah meninggalkan tabiat merokok.

Updated:: 24/08/2021 [lanz]

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEeKA1~