KUALITI, KEASLIAN GULA APONG PERLU DIJAGA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » KUALITI, KEASLIAN GULA APONG PERLU DIJAGA

KUALITI, KEASLIAN GULA APONG PERLU DIJAGA

BINTULU: Kualiti penghasilan gula apong daripada pokok nipah perlu dijaga untuk mengekalkan mutu keasliannya dengan menetapkan kadar kemanisannya supaya produk tersebut terus mendapat tarikan ramai.

Penanaman pokok nipah juga boleh disepadukan dengan tanaman lain bagi mempertingkatkan sumber ekonomi masyarakat setempat terutama di Pusa, Betong yang merupakan pengeluar utama gula apong di negara ini.

Penghasilan gula apong juga perlu dipertingkat dan ditambah baik dengan pelbagai produk lain yang berpotensi.

Justeru, atas usaha itu empat ahli akademik Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) melaksanakan Projek Putra@Pusa: Transformasi Sosioekonomi dan Pembangunan Produk Pertanian Nipah Komuniti Usahawan Pusa Sarawak (Siri 1), baru-baru ini.

Projek yang dirasmikan Pegawai Daerah Betong Jamain Wahab itu disertai 20 usahawan gula apong Pusa yang berpeluang mendengar ceramah bertajuk 'Pengendalian Lepastuai Gula Nipah' oleh pensyarah UPMKB Dr Nuratika Tamimi Sheikh Mohamed di Pusat Internet Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Pusa pada 7 Mac lepas.

Dr Nuratika berkata, penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting untuk menjamin kualiti gula apong memandangkan gula apong Sarawak telah berjaya dieksport ke negara Eropah, Timur Tengah, Korea Selatan dan Jepun.

"Ini membuktikan gula apong Sarawak berpotensi untuk menyumbang kepada ekonomi Sarawak dan negara secara keseluruhannya," ujarnya.

Katanya, adalah penting menjaga kualiti penghasilan gula apong untuk mengekalkan mutunya supaya terus mendapat tarikan ramai sekali gus teknik menetapkan kadar kemanisan gula apong perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, penanaman pokok nipah juga boleh disepadukan dengan tanaman lain bagi mempertingkat sumber ekonomi masyarakat setempat.

Sementara itu kata Jamain, perkongsian yang disampaikan ahli akademik UPMKB amat baik dan berharap program ini dapat diteruskan pada masa depan dalam ilmu pertanian nipah, rumbia dan nanas untuk semua lapisan penduduk melibatkan warga emas dan golongan muda.

Katanya, pengembangan industri nipah dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi generasi muda dan status ekonomi masyarakat Pusa. 

Pada program tersebut, seorang lagi ahli akademik UPMKB Dr Franklin Ragai Kundat turut berkongsi cara pembuatan sistem hidroponik secara buat sendiri dan kaedah penanaman hidroponik bagi beberapa jenis sayur, contohnya, salad, bayam, sawi dan sebagainya.

Mengulas mengenai kaedah itu, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Daruk U’lum Kalok Betong Berhad Juhlie@Joblee Ramli berkata, disebabkan kekurangan sumber sayur di Pusa perkongsian ilmu mengenai penanaman secara hidroponik itu amat bermakna bagi penduduk menanam sendiri sayur di kawasan sedia ada.

Hasil pelaksanaan baik projek pertama itu, projek siri kedua ceramah akan diadakan dalam masa terdekat berkenaan 'Penghasilan Produk Buah Nipah' oleh Dr Shiamala Devi Ramaiya dan 'Penghasilan Produk Berasaskan Gula Apong' oleh Ketua projek Dr Hanisah Kamilah Abdul Razak.

Date of Input: 21/03/2024 | Updated: 21/03/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbSAX~