LINVERN PAULUS SENDYS JOHAN PERTANDINGAN PIDATO KENYALANG EDISI KEDUA 2024 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » LINVERN PAULUS SENDYS JOHAN PERTANDINGAN PIDATO KENYALANG EDISI KEDUA 2024

LINVERN PAULUS SENDYS JOHAN PERTANDINGAN PIDATO KENYALANG EDISI KEDUA 2024

BINTULU: Linvern Paulus Sendys dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang dinobatkan sebagai johan kategori mahasiswa dalam Pertandingan Pidato Kenyalang Edisi Kedua 2024 di Bilik Kuliah 1, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) baru-baru ini.

Naib johan disandang Wan Irfan Hakim Wan Ismail dari UPMKB dan tempat ketiga dimenangi Aliyana Hamiezah Abdul Rahman juga dari IPG Kampus Rajang. 

Livern yang pernah meraih naib johan kategori Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2023 tampil dengan persalinan baju Melayu berjaya mengupas tajuk pidato `Sarawak, Ibu Pertiwiku' dengan baik. 

"Saya bersyukur dengan kejayaan ini terutama selepas usaha gigih serta latihan berterusan yang telah dilalui," ujarnya selepas pertandingan.

Sementara itu, johan kategori sekolah menengah disandang oleh Arif Asmakhan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu.

Katanya, kemenangan ini sedikit sebanyak menyuntik semangatnya untuk terus mempelajari serta meningkatkan pengetahuan mengenai bahasa Melayu dan seni berpidato.

"Saya amat berterima kasih kepada guru pembimbing yang telah banyak membantu dalam latihan serta penyemakan skrip pidato," kata anak jati Bintulu itu.

Manakala naib johan pula diraih Fernandez Feliz Jampi juga dari sekolah sama dan tempat ketiga Dominic John dari SMK Asyakirin Bintulu.

Johan kategori sekolah rendah diraih Noella Magdalina Callista Maria dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, naib johan disandang Deviey Sim Bing Bing dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bintulu 2 dan tempat ketiga milik Amir Hamzah Mohamad Syahmizan (SK Integrasi Al-Amin Bintulu).

Pemenang johan, naib johan dan tempat ketiga untuk setiap kategori masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai, cenderamata dan sijil penyertaan. 

Seramai 30 peserta telah menyertai pertandingan ini yang turut memperkenalkan kategori anugerah pemidato harapan.

Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB Mohamad Syukri Mohamad Adnan berkata, pertandingan ini mampu memberi pendedahan dan mendidik para pelajar serta orang awam akan kepentingan seni penghujahan.

"Ia berperanan dalam membantu membangunkan masyarakat madani selaras dengan aspirasi negara," katanya yang mewakili Pengarah Kampus UPMKB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini.

Pengarah programnya, Alya Hafizah Omar berkata, pertandingan itu bagi memartabatkan seni pengucapan, ungkapan fikiran di khalayak umum serta melatih generasi millenia masa kini untuk melontarkan idea bernas di khalayak ramai.

Katanya, tiga kategori dipertandingkan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan mahasiswa dengan pusingan saringan setiap peserta perlu menyampaikan pidato bertajuk bebas berdasarkan tema Rukun Negara Amalan Hidup Kita, Generasi Muda Penyambung Warisan dan Madani Teras Pembangunan Negara. 

Pertandingan tersebut merupakan anjuran Pelajar Kursus Seni Penghujahan QKT2101 Kumpulan 1, Semester Pertama Sesi 2022/2023 UPMKB dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu.

Turut hadir Pegawai Unit Kokurikulum PPD Bintulu Muhamad Farrid Che Hasan, Penasihat pertandingan Dr Alvin Lim Teik Zheng dan Pegawai Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, Hairunisah Abdul Rahman.

Date of Input: 08/04/2024 | Updated: 08/04/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEeDAC~