PENANAMAN PADI DI SARAWAK MAHU MEMANFAATKAN TEKNOLOGI CANGGIH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » PENANAMAN PADI DI SARAWAK MAHU MEMANFAATKAN TEKNOLOGI CANGGIH

PENANAMAN PADI DI SARAWAK MAHU MEMANFAATKAN TEKNOLOGI CANGGIH

KUCHING: Pembudayaan teknologi baharu mampu merealisasikan usaha Sarawak mengubah landskap pertanian padi dan penggunaan sumber air yang cekap.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mempunyai azam untuk mengubah landskap pertanian padi di Sarawak dengan memanfaatkan teknologi canggih.

“Ini memandangkan sekarang Sarawak masih mengimport beras walaupun kita memiliki tanah dan air yang mencukupi untuk mengeluarkan beras sendiri.

“Bagaimanapun kejayaan kajian yang dijalankan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) di beberapa lokasi termasuk Gedong dan Lubok Punggor telah berjaya.

“Alhamdulillah, kita bermula di Gedong, di Lubok Punggur dan dalam kajian dengan UPM menggunakan kaedah baharu, kita mampu mengeluarkan lapan tan padi dalam sehektar tanah.

“Sedangkan menggunakan kaedah lama hanya mampu mengeluarkan satu tan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Samarindok Aidilfitri 2024M/1445H anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri, malam tadi.

Jelasnya, ini menunjukkan Sarawak boleh mencapai potensi pengeluaran beras yang luar biasa dengan suntikan teknologi baharu.

Mengenai penggunaan sumber air yang cekap di Stumbin, Lingga tambah Abang Johari, juga merupakan satu inisiatif yang menguntungkan rakyat.

“Kita mengepam air dari sungai Batang Lupar ke tangki aras tinggi, kita pasang paip dan melepaskan semula air dan ia akan memutarkan dinamo, turbin akan menghasilkan elektrik seperti teori graviti,” ujarnya.

Air yang dikeluarkan juga katanya, boleh digunakan untuk mengairi tanaman padi serta mewujudkan sistem yang cekap dan mampan.

“Ini boleh meningkatkan pendapatan rakyat di pesisir yang kebanyakan orang Melayu.

“Justeru, jika boleh kita kuasai teknologi, maka pendapatan boleh meningkat,” tegasnya.

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Isteri Premier Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut hadir sama.

Date of Input: 09/05/2024 | Updated: 09/05/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXFUMAG~