PROGRAM KOMUNITI ‘PUTRA BAKTI- ARAM BEKELALA ENGGAU KAMI’ TINGKAT KESEDARAN BAHAYA RABIES | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » PROGRAM KOMUNITI ‘PUTRA BAKTI- ARAM BEKELALA ENGGAU KAMI’ TINGKAT KESEDARAN BAHAYA RABIES

PROGRAM KOMUNITI ‘PUTRA BAKTI- ARAM BEKELALA ENGGAU KAMI’ TINGKAT KESEDARAN BAHAYA RABIES

SELANGAU- Rabies atau yang dikenali dengan istilah penyakit anjing gila adalah infeksi virus pada otak dan sistem saraf turut tergolong sebagai wabak berbahaya yang berpotensi menyebabkan kematian.
 
Menyedari akan kepentingan meningkatkan kesedaran Masyarakat tentang bahaya wabak Rabies, pelajar kursus kokorikulum berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1) Semester Kedua Sesi Akademik 2023/2024 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menganjurkan program Putra Bakti ‘Aram Berkelala Enggau Kami’ bersama penduduk Rumah Panjang, Rumah Jamban, Nanga Lebai, Ulu Mukah, Selangau, Sibu.
 
Program komuniti selama tiga hari dua malam tersebut disertai oleh 38 orang pelajar dan diiringi seorang pensyarah bertujuan memupuk interaksi sosial dengan berkongsi kepakaran dan informasi tentang wabak Rabies serta kepentingan memastikan haiwan peliharaan diberikan vaksinasi.
 
Pengarah Program, Syifa Syakirah Binti Jumasriansah berkata program kesedaran seumpama ini dapat membantu meningkatkan kesedaran bersama tentang penjagaan haiwan peliharaan yang betul di samping menjadi platform kepada pelajar UPMKB untuk berbakti kepada masyarakat.
 
“Program komuniti bersama penduduk rumah Panjang membuka peluang kepada kami untuk menyumbang bakti kepada Masyarakat dengan mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam kehidupan sebenar.
 
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Tuai Rumah dan semua penduduk rumah Panjang kerana menerima dan memberi layanan yang sangat baik kepada kami,” kata Syifa Syakirah.
 
Antara pengisian lain program ini merangkumi perkongsian komunikasi positif dalam keluarga, aktiviti kebudayaan, pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka dan gotong-royong membersihkan sekitar kawasan rumah panjang.
 
Sepanjang berada di Rumah Panjang, para pelajar turut berpeluang belajar dan bermain alat musik tradisional seperti tawak, engkerumung, bebendai, gong dan dapun. Kaum ibu di rumah Panjang turut menunjukkan cara menyediakan kuih tradisional iaitu kuih penyaram.
 
Para pelajar turut berpeluang mengenali dan menggayakan baju tradisional masyarakat Iban di samping mempelajari tarian ngajat. Penduduk di rumah panjang turut dihiburkan dengan persembahan khas para pelajar pada Malam Kebudayaan.
 
Menurut Tuai Rumah Panjang, Encik Jamban Anak Itan program komuniti bersama warga UPMKB merupakan program yang julung-julung kali diadakan di rumah Panjang Jamban Nanga Lebai.
 
“Kami berasa gembira dan menghargai kedatangan anak-anak dari UPMKB ke rumah panjang kami. Program komuniti ini bukan sekadar mengeratkan hubungan antara penduduk rumah Panjang dengan UPMKB malah turut merapatkan silaturrahim sesama penduduk, “ katanya.
 
Program Putra Bakti- Aram Bekelala Enggau Kami telah dianjurkan dengan jayanya atas sokongan dan suntikan dana daripada YB Ir. Christopher Gira Sambang, Adun N.59 Tamin. Sumbangan turut disalurkan kepada penduduk di 30 buah pintu rumah Panjang Jamban Naga Lebai dalam program komuniti tersebut.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 05/04/2024 | Updated: 05/04/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEeDAe~