PUSAT PERTANIAN PUTRA, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK ANJUR PEMINDAHAN ILMU : KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » PUSAT PERTANIAN PUTRA, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK ANJUR PEMINDAHAN ILMU : KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM

PUSAT PERTANIAN PUTRA, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK ANJUR PEMINDAHAN ILMU : KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM

Menjadi penternak ayam sebenarnya tidak sukar, menyebabkan ramai mula ingin menceburkan diri dengan penternakan ini. Walaupun kursus ini telah diadakan tahun lepas sebanyak 2 siri, namun atas permintaan yang menggalakkan, dan bagi tidak menghampakan permintaan tersebut sekali lagi pihak Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (PPP@ UPMKB) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam (Siri 3) pada 27 April 2024 (Sabtu) bertempat di Pejabat Pusat Pertanian Putra, UPMKB dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
 
Seramai 38 orang peserta dari pelbagai latar belakang telah menyertai kursus ini. Mereka datang dari seluruh pelusuk negeri Sarawak (Bintulu, Kuching, Miri, Sibu, Belaga, Serian, Sri Aman, Lawas, Limbang, Mukah, Dalat, Kapit dan Bintangor).
 
Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, Pegawai Pertanian Kanan, PPP@UPMKB selaku Penyelaras dan Penceramah kursus menerangkan objektif penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta yang ingin menternak ayam dari segi keperluan umum, penyediaan reban, pengurusan dan penyelenggaraan harian sehingga penuaian. Turut dikongsikan juga ialah ilmu pengetahuan tentang pengurusan kesihatan ayam, penyediaan dan penghasilan makanan untuk ayam serta penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi oleh penternak ayam.
 
Peserta turut didedahkan semasa amali tentang pemilihan telur untuk penetasan, pemotongan paruh ayam serta cara-cara pemberian vaksin kepada ternakan ayam. Sesi amali ini telah dibantu oleh staf Pusat Pertanian Putra UPMKB iaitu Puan Jega Jantai dan En. Yusri Drahman.
 
Timbalan Pengarah PPP, UPMKB, Prof. Madya Dr. Amy Halimah binti Rajaee turut menambah bahawa kursus tersebut dijalankan selaras dengan keperluan peningkatan ilmu untuk memperkasakan bidang pertanian sebagai salah satu inisiatif dalam menghadapi isu krisis sekuriti makanan negara.
 
Menurut beliau lagi, kursus ini merupakan satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun 2024 dalam merealisasikan program University for Society (U4S) atau IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNITY) melalui program pemindahan teknologi pertanian yang berpaksikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti.
 
Pusat Pertanian Putra UPMKB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Cik Josephine Jawai Makos, Puan Norbaya Che Rus, Cik Deepshika Nair A/P Sivananthan Nair dan Cik Nur Ismahani Irdina Binti Gani (urusetia), En. Benedict Miden (jurufoto) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
 
Pusat Pertanian Putra UPMKB turut mendapat galakan dan sokongan daripada Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini agar kursus seumpama ini dapat dikembangkan kepada komuniti setempat khasnya dan masyarakat umum amnya sejajar dengan cogan kata keramat UPM ‘Berilmu Berbakti’ dengan bayaran yang minimum supaya bidang kepakaran yang dimiliki oleh pegawai akademik dan pegawai bukan akademik UPMKB dapat diserlahkan dan dimanfaatkan sewajarnya.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 09/05/2024 | Updated: 09/05/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXFUMAg~